Ahad, 9 Februari 2014

BERGUNA DAN BERBAHAYA

Ada mikroorganisma yang berfaedah dan ada yang berbahaya. Mikroorganisma yang berfaedah digunakan dalam pembuatan makanan. Mikroorganisma yang berbahaya menyebabkan penyakit.

Kegunaan Mikroorganisma

Sesetengah mikroorganisma digunakan dengan meluas dalam pembuatan makanan.

  • Yis (fungi) menyebabkan doh roti mengembang dan menjadikan roti gebu.
  • Fungi lain digunakan untuk membuat kicap dan tempe.
  • Sesetengah bakteria menukarkan susu kepada keju.
  • Sesetengah bakteria juga menukarkan susu kepada dadih.
Yis digunakan untuk membuat tapai. Tapai ialah makanan tradisional yang dihasilkan daripada proses penapaian tepung beras atau ubi kayu.
Bakteria yang terdapat di dalam tanah membantu menguraikan bangkai organisma yang mati. Ini membantu menyuburkan tanah untuk pembesaran tumbuhan.

Kesan Buruk Mikroorganisma

Bukan semua bakteria berfaedah kepada manusia. Sesetengah bakteria berbahaya kepada manusia.
Mikroorganisma yang berbahaya termasuklah bakteria, virus, fungi dan protozoa. Semua mikroorganisma ini boleh menyebabkan :
  • penyakit
  • keracunan makanan
  • makanan menjadi busuk atau basi
  • pereputan gigi (karies gigi)
Keracunan makanan adalah disebabkan oleh makanan yang kita makan telah dicemari mikroorganisma berbahaya.
Keracunan makanan boleh menyebabkan sakit perut, cirit birit dan muntah.
Spora mikroorganisma seperti bakteria dan fungi di udara yang melekat pada makanan menyebabkan makanan menjadi busuk atau basi.
Bakteria dan fungi memperoleh nutrien di dalam makanan dan bahan buangan (toksin) mikroorganisma ini menyebabkan makanan berbau dan basi.
Pereputan gigi juga adalah disebabkan oleh mikroorganisma.
Makanan di dalam mulut dan yang melekat pada gigi kita menggalakkan pembiakan bakteria. Aktiviti bakteria ini menyebabkan pereputan gigi.

Penyakit yang Disebabkan oleh Mikroorganisma

Terdapat pelbagai jenis penyakit dan penyebabnya.
Banyak penyakit yang disebabkan oleh mikroorganisma seperti bakteria dan virus. Sesetengahnya adalah disebabkan oleh fungi dan protozoa.


Mikroorganisma
Penyakit
Bakteria
Taun
Konjunktivitis
Beguk
Ruam
Virus
AIDS
Selesema
Batuk
Campak
Cacar air
Fungi
Kurap
Panau
Protozoa
Malaria




MIKROORGANISMA

PENGENALAN

Mikroorganisma terdapat di sekeliling kita. Namun begitu, kita tidak dapat melihat mikroorganisma dengan mata kasar kerana saiznya yang sangat kecil.

MIKROORGANISMA IALAH HIDUPAN


  1. Mikro bermaksud seni dan organism bermaksud hidupan. Mikroorganisma bermaksud hidupan seni (kecil).
  2. Mikroorganisma terdapat di sekeliling kita. Contohnya, di udara, di dalam air, makanan, tanah dan di dalam badan kita.
  3. Mikroorganisma adalah tersangat kecil sehingga tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Kita perlu menggunakan mikroskop untuk melihat mikroorganisma.
  4. Mikroorganisma wujud dalam pelbagai bentuk dan saiz.


Jenis-jenis Mikroorganisma

Terdapat empat jenis mikroorganisma yang utama iaitu bakteria, virus, fungi dan protozoa.

Bakteria

  1. Bakteria ialah mikroorganisma yang sangat kecil.
  2. Bakteria wujud dalam pelbagai bentuk. Kebanyakan bakteria boleh dikelaskan berdasarkan bentuknya.
  3. Bakteria terdapat di udara, di dalam air, di dalam tanah serta di permukaan yang kamu sentuh. Bakteria hidup di dalam tubuh kamu juga.
  4. Bakteria membiak sangat cepat pada suhu yang sesuai dengan kehadiran air dan makanan yang mencukupi.
  5. Bakteria sangat aktif di tempat yang hangat, gelap, lembab dan kotor.
  6. Kebanyakan bakteria tidak berbahaya dan berguna kepada kita. Namun begitu, sesetengah bakteria menyebabkan penyakit seperti cirit-birit, sakit kerongkong dan sebagainya.
  7. Bakteria yang menyebabkan penyakit dikenali sebagai kuman.
Virus
  1. Virus ialah mikroorganisma yang paling kecil. Virus hanya dapat dilihat dengan menggunakan mikroskop yang tinggi kuasanya.
  2. Virus boleh menjangkiti tumbuhan, haiwan dan bakteria.
  3. Demam selesema adalah disebabkan oleh virus. Virus bertanggungjawab kepada pelbagai jenis penyakit berbahaya dan membawa maut seperti AIDS.
Protozoa
  1. Protozoa lebih besar daripada virus dan bakteria.
  2. Protozoa adalah organisma akuatik.
  3. Protozoa juga ada yang tidak berbahaya dan ada yang berbahaya. Demam malaria adalah salah satu penyakit yang disebabkan oleh sejenis protozoa.
Fungi
  1. Fungi adalah yang paling besar antara keempat-empat mikroorganisma.
  2. Fungi hidup di dalam tanah, pada sampah sarap, di atas organisma lain dan juga pada makanan kita.
  3. Fungi membiak daripada spora.
  4. Cendawan, kulapuk dan yis (ragi) adalah contoh-contoh fungi.
  5. Sesetengah fungi seperti yis adalah sangat halus dan hanya boleh dilihat dengan bantuan mikroskop.
  6. Seperti bakteria, kebanyakan fungi tidak berbahaya dan berguna kepada kita. Walau bagaimanapun, ada juga fungi yang boleh menyebabkan penyakit.
Mikroorganisma menjalankan proses hidup seperti bernafas, membesar dan bergerak apabila dibekalkan dengan keperluan asas dan persekitaran yang sesuai.

Mikroorganisma Bernafas

  1. Yis adalah contoh mikroorganisma.
  2. Yis terdapat di sekeliling kita - di dalam tanah, pada tumbuhan dan juga di udara.
  3. Yis digunakan dalam pembuatan roti.
  • Yis memakan kanji di dalam tepung dan membebaskan karbon dioksida apabila bernafas.
  • Karbon dioksida menyebabkan doh itu mengembang dan naik.

Mikroorganisma Membiak

  1. Mikroorganisma terdapat di mana-mana sahaja di sekeliling kita.
  2. Mikroorganisma akan membiak dengan cepat dalam keadaan yang sesuai.
  3. Kulapuk membiak di atas roti yang lembab. Kulapuk memperoleh nutrien apabila roti mereput. Kulapuk menyebabkan roti menjadi rosak.
  4. Kulapuk roti membiak dalam persekitaran yang lembab, hangat dan berangin.
  5. Contoh makanan lain yang boleh berkulat atau rosak akibat dijangkiti mikroorganisma ialah buah oren dan nasi.

Mikroorganisma Bergerak

  1. Mikroorganisma bergerak dengan caranya sendiri bergantung kepada tempat tinggalnya.
  2. Kita dapat melihat pergerakan mikroorganisma yang hidup di dalam air seperti protozoa.
  3. Pergerakan mikroorganisma dapat dilihat dengan menggunakan mikroskop.
  4. Kebanyakan mikroorganisma akuatik bergerak dengan melibaskan ekornya di dalam air.